Articles


206 bekas pekerja ladang terima pampasan pertama

From Bernama, Sunday, June 10, 2018.


KULIM, 10 Jun (Bernama) -- Penantian 206 bekas pekerja estet Padang Meiha selama 23 tahun berakhir apabila menerima pampasan pertama daripada tiga pampasan yang dijanjikan bekas pengurusan ladang.

Wakil peguam dari Tetuan Hakeem Arabi and Associate yang mewakili kes tersebut, S. Dhanaraj berkata, tuntutan pampasan bekas pekerja yang diberhentikan kerja akibat ladang tersebut dipindah milik itu diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 April lalu.

"Dua daripada tuntutan bekas pekerja ini iaitu pampasan pemberhentian pekerja dan perpindahan sudah pun diluluskan oleh mahkamah manakala pampasan bagi pembinaan rumah pula masih dalam proses perundangan yang membabitkan beberapa pihak.

"Hari ini, kami hanya memberi pampasan pemberhentian pekerja dengan menyerahkan cek kepada 53 bekas pekerja yang sudah pun melengkapkan semua dokumen yang diperlukan dan selebihnya akan diproses oleh peguam kami dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Pampasan Bekas Pekerja Ladang Meiha di sini hari ini.

Jumlah pampasan yang diterima adalah antara RM1,500 hingga RM30,000 iaitu pemberian adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan pekerja tersebut sebelum diberhentikan......